infomalaya


5 March 2017

Day 21/100

Alhamdulillah, projek rod heavy cover game saya semalam dah siap 50%. Tinggal nak ikat guide dan sapu epoxy sahaja. Semangat sangat nak buat malam tadi sampai lambat masuk tidur. Akibatnya, saya jadi mengantuk di sekolah hari ni, banyak kerja saya tertangguh. Salah saya sendiri, dah tahu esok kerja, jadi kenalah masuk tidur awal sebelum pukul 12. Degil betul.

Misi saya minggu ni ialah masuk tidur sebelum pukul 12 tak kiralah banyak mana pun kerja saya. Rasanya ramai dah tahu yang tidur yang cukup memang penting. Saya pun tahu, tapi degil jugak nak tidur lambat.

Apa pun, saya akan cuba juga. Tidur yang cukup juga adalah salah satu perkara yang saya nak capai dalam tempoh 100 hari ni—walaupun dah tinggal lagi 79 hari.

4 March 2017

Day 20/100

Hari ni saya tak sempat langsung nak tulis kod. Pagi pergi memancing, tengahari pergi ke bandar sampai Maghrib. Jadi, malam ni saya nak sambung projek rod heavy cover game saya pulak. Rod ini khas untuk pancingan di kawasan paya yang penuh dengan tumbuhan dalam air. Ikan sasaran ialah dari keluarga snakehead, sama ada haruan, bujuk, kerandang, atau toman. Cuma buat masa ni saya cuma berpeluang daratkan spesis ikan haruan sahaja.

Kod dan rod. Kod dan rod. Dua-dua saya suka.

3 March 2017

Day 19/100

Seperti yang dijanjikan, hari ini saya akan kongsi rancangan saya untuk MentariCSS. Saya akan letakkan MentariCSS di bawah projek infomalaya memandangkan saya sudah tidak lagi terlibat dengan MentariWorks. Tetapi, sekiranya terjadi apa-apa isu berkaitan hakcipta, saya akan cari nama lain untuk MentariCSS walaupun saya adalah pengasas projek ini.

Langkah pertama yang saya dah buat, buat satu organization di GitHub di bawah nama infomalaya. Saya juga dah jemput saudara Ahmad Rushdi untuk turut serta melalui invite link. Buat masa ini saya masih belum lagi buat repo untuk MentariCSS. Saya kena gilap balik kod-kod dalam MentariCSS yang saya tengah guna sekarang.

Untuk lesen, saya akan guna MIT license. Ini kali pertama saya guna MIT license untuk projek saya. Sekiranya anda ingin memilih lesen yang sesuai untuk projek anda, sila rujuk laman web Choose a License dahulu.

Saya juga akan merangka dokumen README MentariCSS supaya orang yang guna kod ini lebih faham tentang MentariCSS. Saya akan rujuk artikel ini untuk menulis dokumen README yang lebih teratur.

Untuk dokumentasi, dan feature request, saya akan guna fungsi yang ada pada GitHub. Saya akan rujuk artikel ini untuk memantapkan lagi pengurusan projek ini. Saya akan memastikan dokumentasi MentariCSS lengkap sebelum projek ini dimulakan. Dokumentasi prioriti ketiga saya selepas kod MentariCSS dan dokumen README.

Sekiranya projek ini dah berjaya dilancarkan, saya akan guna blog infomalaya untuk membuat sebarang artikel tentang berita terbaru dan penggunaan MentariCSS untuk membangunkan laman web. Saya juga akan buka pull request sekiranya ada orang ingin menyumbang sebarang kod untuk MentariCSS.

Akhir sekali, soalan yang saya selalu dapat. “Kenapa nak buat satu lagi CSS Framework sedangkan dah berlambak framework yang lebih lengkap dan baik di luar sana macam Bootstrap dan Zurb’s Foundation?”. Saya cuma boleh jawab yang MentariCSS lebih simple, dan saya suka benda yang simple.

Saya mungkin akan ambil masa satu ke dua minggu untuk siapkan semua yang saya dah rancang di atas. InsyaAllah.

2 March 2017

Day 18/100

Saya ambil keputusan untuk meneruskan semula projek sumber terbuka saya yang terbengkalai sebelum ini, MentariCSS. Tapi kalau saya teruskan cara saya dahulu, rasanya dah boleh agak projek ini akan terbengkalai semula dalam tempoh yang cukup singkat. Sebenarnya, saya kembali bersemangat lepas baca artikel dari Open Source Guide—oleh GitHub—yang bertajuk Starting an Open Source Project.

Selepas baca, baru saya sedar punca kenapa projek saya sebelum ini terbengkalai. Terlalu banyak kekurangan, bukannya dari segi kod yang ada dalam projek tu, tapi dari segi pengurusan dan dokumentasi. Tapi kekurangan ini datangnya dari saya sendiri, kurang membaca dan belajar dari projek sumber terbuka lain yang sudah berjaya.

MentariCSS akan menjadi langkah pertama untuk projek saya yang seterusnya iaitu HTML template. Saya akan teruskan minat saya dalam bidang ini dengan merekabentuk template HTML, dan harapnya akan ada orang yang berminat untuk port template yang saya buat ke platform CMS, WordPress contohnya.

Saya akan kongsikan rancangan saya untuk projek ini esok, InsyaAllah.

1 March 2017

Day 17/100

Hari ini saya belajar satu benda baru tentang cara mencari maklumat di internet. Sebelum ini saya ada guna enjin carian Google untuk cari maklumat tentang reel ABU Cardinal 33. Saya cari maklumat tentang cara-cara membetulkan line lay pada bahagian spool. Malangnya, saya tak jumpa apa-apa pun. Tapi, dari apa yang saya tahu, reel ini sangat popular di kalangan pemancing ikan trout di Jepun.

Rupa-rupanya baru saya tahu yang saya kena guna tulisan Jepun untuk cari maklumat. Saya gunakan khidmat Google Translate untuk terjemahkan kata kunci yang saya cari kepada Bahasa Jepun, dan saya gunakan tulisan tersebut untuk buat carian di Google. Alhamdulillah, baru saya jumpa apa yang saya nak.

Sekali lagi, terima kasih Google Translate.

Masuk hari ke-17 ni, saya rasa macam dah habis modal nak menulis pun ada. Mungkin perasaan saya sahaja yang buat saya rasa macam ni. Realitinya, saya dah cuba sehabis baik untuk ingatkan dan kuatkan diri saya untuk terus menulis sampai ke hari ini.

Consistency is the key, kata mereka.

28 February 2017

Day 16/100

Lagu ‘Pejamkan Mata’ dendangan Malique dan Dayang Nurfaizah menjadi lagu tema saya minggu ini. Lirik lagu ini tidak ada kaitan pun dengan hidup saya. Terlalu klise rasanya kalau nak kaitkan lirik lagu dengan kehidupan seharian saya yang biasa-biasa sahaja. Mungkin ada sedikit kot yang berkait. Mungkin. Rasanyalah.

Yang penting, hidup ni jangan terlalu ikutkan emosi. Kawal emosi, tak rugi kalau boleh bersabar sedikit. Kita tak tahu apa akan jadi lepas ini. Siapa pun tak tahu.

Gambar di atas saya ambil ketika melawat Taman Monumen di negeri Terengganu pada tahun 2015.

27 February 2017

Day 15/100

Banyak benda yang saya buat hari ini, antaranya ialah:

Hosting Plan downgrade

Infomalaya.com dihoskan oleh DataKL. Sudah lama saya guna khidmat mereka kerana staf sokongan mereka cekap menyelesaikan masalah berkaitan hosting dengan pantas. Kos hosting laman web infomalaya ialah RM160 setahun tidak termasuk GST bagi pelan DataOne. Oleh kerana saya tidak lagi maintain domain-domain lain seperti mentariworks.com, hasnahbakery.com, dan skthl.edu.my, saya rasa eloklah saya keluarkan terus domain yang disebutkan tadi dari plan hosting yang saya ambil. Jadi, saya pilih plan DataRookie yang berhaga RM105 setahun tidak termasuk GST yang dapat menyokong dua domain. Buat masa ini saya cuma akan maintain dua domain sahaja iaitu infomalaya.com dan huzairy.com—laman web peribadi saya.

Sekiranya anda sedang mencari pakej hosting untuk laman web, saya sarankan anda supaya mencuba servis DataKL. Sila guna pautan affiliate ini untuk melanggan, dalam masa yang sama anda dapat membantu saya menampung kos hosting infomalaya.

YouTube Channel

Saya telah membuat channel Youtube yang baharu. Channel ini khas untuk video memancing saya selepas ini. Saya kena cari gambar lain untuk avatar dan channel art. Walaupun saya masih lagi belum mempunyai action cam, saya akan teruskan juga membuat video dengan menggunakan peralatan yang ada pada saya buat masa ini iaitu telefon bimbit dan DSLR. Tabung untuk membeli action cam telah dibuat, kalau ada rezeki mungkin sebelum raya tahun ni saya dapat beli satu, InsyaAllah.

AMP dan Facebook Instant Articles

Saya dah pernah dengar pasal Facebook Instant Articles sebelum ini, tapi cuma hari ini saya berpeluang untuk guna. Leceh juga sebenarnya, tak pasal-pasal saya kena create account untuk jadi Facebok Developer, register Facebook Apps, Pasang plugin WordPress untuk Instant Articles, dan buat link antara laman web dan Facebook Pages, dan sekarang saya cuma kena tunggu pengesahan dari pihak Facebook.

Saya sangkakan laman web yang ada saya sebutkan sebelum ini guna AMP dalam laman web mereka, rupanya saya silap. Mereka guna Facebook Instant Articles, bukan AMP. Patutlah saya periksa laman web mereka guna AMP Test dapat keputusan yang mengejutkan.

Alhamdulillah, nasib baik tak jauh sangat saya tersesat.

26 February 2017

Day 14/100

Hari ini saya ada buat sedikit kemaskini pada infomalaya. Saya buat satu bahagian khas pada sidebar untuk memaparkan artikel berbentuk pautan semata-mata. Sebenarnya saya dah lama guna cara ini sewaktu zaman kegemilangan infomalaya dahulu, tapi waktu itu saya guna WordPress. Sekarang infomalaya guna Textpattern, dan saya dapati CMS yang ini lebih senang untuk ditala mengikut apa yang yang saya mahukan. Terima kasih pada Tag Builder.

Di masa hadapan, saya akan buat satu halaman khas untuk memaparkan semua pautan yang telah ditulis. Mungkin saya akan paparkan pautan dengan menggunakan kaedah kotak, yang mana semua pautan telah disusun mengikut kategori masing-masing.

Dengan cara ini, saya dapat mengasingkan artikel biasa dengan artikel berbentuk pautan. Tapi, semua ini masih lagi dalam proses eksperimental. Saya akan tengok dahulu sama ada fungsi ini akan saya kekalkan atau tidak dalam tempoh 86 hari ini.

25 February 2017

Day 13/100

Gambar ikan clownfish di atas saya ambil di Aquaria KLCC pada tahun 2013 semasa rombongan sambil belajar sekolah. Waktu ini saya masih lagi belum serius dalam bidang memancing. Memancing sekadar suka-suka. Waktu itu rasa memancing ni taklah susah mana, dan tak perlu nak serius sangat. Tapi saya silap. Begitulah kita manusia, sangkakan diri sudah tahu banyak, mendabik dada umpama tahu semuanya, tapi terlupa yang ilmu itu luas, yang mana proses pencariannya tidak akan pernah puas. Yang penting, kena konsisten dalam usaha dan tawakal.

Susah nak cakap pasal konsisten ni. Berat benda konsisten ni. Nak capai tahap konsisten dalam semua perkara mungkin mustahil, dan tahyul. Sedangkan nak jadi konsisten dalam satu perkara pun susah, inikan pula semua. Ni saya nak tulis artikel sampai hari ke-13 pun masih lagi ada rasa terpaksa. Maknanya saya kena teruskan lagi sampai menulis artikel menjadi tabiat saya. Macam tabiat makan, minum, mandi, bekerja, memancing, dan lain-lain. Bila dah jadi tabiat, memang susah nak tinggal—seperti merokok contohnya. Sekadar contoh pada diri saya sendiri.

Susah, tapi saya akan cuba, InsyaAllah.

24 February 2017

Day 12/100

Hari ni saya cuma nak kongsi links sahaja.

  • Awesome Selfhosted — Senarai perisian yang boleh dipasang pada web server. Senarai ini dikemaskini secara crowdsource di GitHub.
  • LakkaLakka is a lightweight Linux distribution that transforms a small computer into a full blown game console. Sebelum ni saya guna RetroPie.

Nampak gayanya saya kena bawak balik Rpi yang saya guna di sekolah untuk projek kali ni.

23 February 2017

Day 11/100

Hari ni hari gaji bagi semua kakitangan awam di Malaysia. Saya bukan nak cerita berapa banyak @ berapa sikit gaji saya sebagai seorang guru. Saya cuma nak kongsi flow pengurusan duit gaji saya setiap bulan.

Saya guna sistem 50/30/20. 50% untuk keperluan, 30% untuk lain-lain, dan 20% untuk simpanan. Pecahan ini hanya untuk gaji bersih sahaja, selepas ditolak cukai bulanan, dan bayaran pinjaman bulanan. Saya rekodkan semua maklumat ni dalam spreadsheet. Maaf saya belum bersedia nak kongsi dokumen tu. Saya juga gunakan sistem envelope untuk beberapa perbelanjaan seperti barang dapur, dan petrol. Saya akan masukkan sejumlah duit yang telah ditetapkan ke dalam setiap sampul. Bila nak guna saya akan ambil duit dari sampul.

Untuk simpanan, saya buka satu lagi akaun simpanan di bank selain bank yang saya guna untuk gaji bulanan. Bila gaji masuk, saya akan pindahkan sejumlah wang secara online ke dalam akaun simpanan di bank lain. Saya juga pastikan isteri saya tahu nombor pin bagi kad bank saya. Bukan sebab takut bini, tapi sebab bimbang sekiranya berlaku apa-apa ke atas diri saya, isteri saya dapat keluarkan duit dari akaun bank saya dengan segera.

Saya sudahi artikel saya kali ni dengan beberapa pautan laman web di bawah:

  • PiVPN — OpenVPN untuk Raspberry Pi. Dah lama saya berangan nak pasang OpenVPN dalam Rpi, sebab senang saya nak guna internet di tempat kerja tanpa sebarang sekatan.
  • Pi-Hole — Network Ad Blocking. Fungsi ad blocking untuk semua peranti yang guna network yang sama. Tak perlu dah nak pasang ad blocker untuk setiap peranti.

22 February 2017

Day 10/100

Makluman: Petang tadi, emak saya di kampung memaklumkan pada saya yang bapa saudara saya telah meninggal dunia. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman, InsyaAllah. Saya tak dapat nak balik kampung untuk majlis pengebumian. Ini salah satu sebab kenapa saya rasa nak sangat pindah balik ke Kedah—dekat dengan keluarga dan saudara-mara.

Fotografi

Saya sedang belajar balik tentang photography dan sedikit editing dengan Adobe Lightroom. Saya guna kamera Nikon D5100 + kanta Nikon DX 35mm f1.8. Gambar yang cantik dapat meningkatkan lagi peluang untuk orang membeli barang daripada kita . Ini dari apa yang saya alami sendiri semasa menjual barang-barang secara online. Tapi jangan lupa letak watermark, sebab mungkin ada segelintir orang yang tak bertanggungjawab akan ambil gambar kita tanpa rasa bersalah walau sekelumit.

Pembaziran masa

Saya baru tersedar yang saya banyak membazir masa selama 1-3 jam sehari menonton video di Youtube. Selalunya saya akan terleka menonton video tentang memancing, dan ada kalanya saya terbabas tengok video orang menyanyi unplugged pula. Saya nak cuba kurangkan, sehari sejam mungkin dah cukup bagi saya lepas ni.

21 February 2017

Day 9/100

Saya ambil masa hampir setengah jam memikirkan apa yang saya nak tulis hari ni. Salah saya juga, lupa nak off Facebook Messenger dan Whatsapp di komputer. Bagi sesetengah orang, menulis perkara yang mudah. Bagi saya dan yang lain, menulis memang susah. Lagi susah bila nak keluarkan semua yang ada dalam kepala ni secara bertulis. Atau lukis lagi senang kot?

Sebab itu kalau nak menulis, kena pastikan dulu tak ada gangguan. Kena tenang. Kena susun dulu dalam kepala apa yang nak tulis satu persatu, ikut susunan. Macam cikgu saya selalu pesan, clear thinking will make a clear writing. Bila dan clear barulah orang yang baca artikel saya boleh faham dengan jelas apa yang saya nak sampaikan. Tapi saya memang tak tahu siapa yang baca infomalaya sekarang. Apa yang satu tahu, saya menulis untuk diri saya sendiri. Sendiri tulis, sendiri baca. Tapi saya yakin, orang selain saya yang masih lagi baca infomalaya pun perangai lebih kurang macam saya juga. Jenis yang tak suka tengok rancangan realiti TV, dan hensem.

Baru 9 hari saya menulis secara konsisten, dan masih awal untuk saya lihat sebarang perubahan berlaku pada diri saya dari segi perubahan tingkah laku, tabiat, kualiti penulisan, dan kesungguhan untuk mencapai misi saya. Saya pun sebenarnya tak tahu apa misi saya, tapi saya yakin akan ada sesuatu yang menunggu saya di akhir cabaran 100 hari ni.

Saya sudahi artikel hari ini dengan quote di bawah:

Time management, to stop addictions like social media and video-watching, and make your art your main relaxing activity.

Dipetik dari artikel yang ditulis oleh Derek Sivers, How to do what you love and make good money.

20 February 2017

Day 8/100

Hari ini boleh dikatakan hari yang paling tidak produktif bagi saya. Di tempat kerja mahu pun di rumah. One of my bad days. Gambar di atas menunjukkan bahagian rotor cup mesin ABU Cardinal 33 saya yang telah rosak. Kepala skru dah patah, meninggalkan bahagian batangnya pada lubang skru. Sempat juga saya cari tutorial di Youtube tadi, tapi memang leceh jugaklah nak buat. Nampak gaya saya terpaksa gunakan drill untuk buat lubang di tengah-tengah batang skru tu, dan cungkil lebihan skru yang tertinggal.

Inilah namanya tak ada kerja, nak cari kerja. Gatal sangat tangan saya tadi nak servis mesin ni. Apa pun, saya yakin ada hikmah di sebalik semua yang terjadi hari ni.

Selalunya benda-benda macam inilah yang buat saya patah semangat atau hilang mood. Kadang-kadang berlanjutan sampai dua tiga hari. Bila dah tak ada mood, mulalah berjangkit dengan benda-benda lain. Bila dah kronik, baru tersedar, dan barulah saya dapat tekan butang reset dan mula semula.

Saya kena biasakan diri lepas ni kalau terjadi apa-apa, saya kena anggap benda ni lumrah, dan tak perlu nak rasa tak ada mood dan sebagainya. Yang paling penting, jangan berhenti. Harap-harap jadi tabiat lepas ni. InsyaAllah.

Nota: Oh ya, hari ni saya mula tulis artikel awal sedikit daripada biasa, 8.30 malam. Saya juga dah tukar balik justified kepada left aligned bagi body text.

19 February 2017

Day 7/100

Alhamdulillah, akhirnya hari ni saya sentuh juga kod CSS. Saya kecilkan sedikit saiz font untuk body, dan saya tukarkan text alignment kepada justify. Tapi saya lebih suka saiz font yang lebih besar, jadi saya anggap ini cuma eksperimen sementara saya siapkan rekabentuk akhir di hujung projek 100 hari saya. InsyaAllah.

Gambar di atas merupakan jam tangan saya sendiri, Casio G-Shock G-6900. Saya akan dedikasikan satu artikel khas untuk review jam ni nanti, yang saya nak kongsikan hari ni ialah tentang masa. Sejak ada jam ni, saya gunakan sepenuhnya fungsi timer yang ada pada jam ni. Saya set timer pada tempoh 30 minit. Jadi dalam tempoh 30 minit inilah saya akan cuba paksa diri saya selesaikan apa-apa tugas contohnya macam kemas bilik, bersenam, tulis artikel, dan tulis buku rekod pengajaran harian di sekolah. Saya rasa cara ni efektif, at least untuk orang yang kurang berdisiplin macam saya. Cukup tempoh 30 minit, penggera timer akan berbunyi menandakan masa sudah tamat bro.

Selain daripada jam tangan, saya juga rasa nak kongsikan sesuatu tentang budaya menangguh kerja. Banyak perkara dan benda yang saya terlepas akibat suka menangguh kerja. Contohnya, saya dah tahu tangki motosikal saya dah tak ada minyak, tapi saya tetap juga nak isi minyak dari tong minyak pada waktu pagi sebelum pergi sekolah. Saya beranggapan yang saya akan dapat bangun awal, dan confirm sempat nak isi minyak. Realitinya, saya akan terbangun lewat, dan saya akan sampai lambat ke tempat kerja dalam 10 minit. Sekiranya saya tidak bertangguh, saya dah dapat jimatkan masa 10 minit dan sampai ke tempat kerja lebih awal.

Point saya ialah, bila tibanya keadaan yang mana saya perlu melakukan sesuatu, diri saya akan bersangka baik pada diri sendiri, dan dengan yakinnya yakin yang saya akan dapat selesaikan perkara tu sekiranya menangguh kerja.

Kesilapan saya ialah terlalu percayakan diri sendiri. Maaf, bukan terlalu percaya, saya over confident dengan keadaan dan sikap diri saya sendiri. Sepatutnya saya sedar yang saya memang akan menghadapi masalah bila nak selesaikan apa-apa perkara sekiranya bertangguh.

Bukan senang nak ubah sikap suka bertangguh ni. Tapi kalau saya berjaya hilangkan tabiat ni, saya yakin banyak perkara saya boleh capai, dan hidup saya akan lebih bahagia. InsyaAllah.

Saya kongsikan beberapa pautan menarik tentang masa dan tabiat:

  • Daily Rituals — Ulasan dan kupasan tentang buku “Daily Rituals: How Artists Work – by Mason Currey” oleh Derek Sivers.
  • Get Stuff Done after Work — Artikel yang menarik tentang masa yang kita bazirkan dalam aktiviti harian.