infomalaya


24 May 2017

Fishing Journal #1

Seperti bidang menulis, memancing juga ada bermacam gaya dan jenis. Untuk jurnal memancing #1 saya, saya ingin menulis tentang gaya dan jenis pancingan yang digunakan oleh saya. Pertama sekali, tentang gaya, atau pun style. Saya tidak mempunyai gaya saya yang tersendiri secara asasnya. Saya tiru dan aplikasikan gaya memancing pemancing lain ke dalam gaya memancing saya. Saya kongsikan beberapa orang tokoh pemancing yang saya maksudkan:

  1. Kanicen Nix — Beliau merupakan pelopor konsep pancingan ultralight di Malaysia. Masih lagi belum rezeki saya untuk berjumpa beliau, walaupun saya merupakan salah seorang product tester untuk jenama Kanicen Nix. Tetapi, beliaulah yang mendorong dan mengajar saya teknik-teknik di dalam pancingan ultralight selama ini. Kekuatan beliau yang saya dapat kenalpasti ialah, tiada apa yang mustahil dalam pancingan ultralight. Penggunaan tali maksimum sehingga 6lb = 2.7kg mungkin dikatakan gila atau tahyul untuk menaikkan ikan bersaiz besar, tapi sudah ramai yang membuktikan bahawa perkara ini tidak mustahil. Saya tertarik dengan gaya pancingan ultralight kerana teknik ini paling berkesan untuk menghasilkan tangkapan, sama ada ikan kecil atau besar.
  2. Hajime Murata — Nama yang tidak asing lagi bagi kaki casting di seluruh dunia. Gaya beliau yang bersahaja ketika memancing merupakan salah satu sebab kenapa saya menerapkan gaya bersahaja ketika memancing. Antara teknik beliau yang saya aplikasikan ke dalam gaya memancing saya ialah, teknik slingshot cast —teknik yang paling efektif untuk menghantar gewang ke kawasan yang sempit.
  3. Shigehiro Iida — Mungkin orang tak berapa kenal sangat, tetapi beliau merupakan duta untuk jenama Palms di Jepun. Teknik sidecast beliau yang bersahaja, tepat, dan sangat smooth dengan menggunakan kekili spinning memukau mata saya. Beliau juga merupakan sebab kenapa saya turut menggunakan beg sandang ketika memancing.
  4. Joe Robinson — Beliau merupakan seorang instructor yang terkenal dalam bidang fly fishing di Amerika. Tetapi, video slow-mo beliau di Youtube merupakan pencetus kepada saya untuk mempelajari teknik Fer-de-lance yang mana saya gagal untuk menirunya untuk tempoh yang sangat panjang. Beliau juga merupakan pelopor kepada teknik ekstrem iaitu bailess spinning reel yang saya gunakan sekarang untuk beberapa kekili saya. Saya masih belum berpeluang untuk membaca buku beliau, Piscatorial Absurdities.
  5. Ernie St. Claire — Beliau ialah mentor kepada Joe Robinson. Beliaulah yang menghasilkan teknik Fer-de-lance, dan saya berjaya juga akhirnya untuk mengaplikasikan teknik ini selepas membaca buku beliau, The Modern Science of Spin-fishing, yang diterbitkan pada tahun 1961. Baru saya tahu sudah lama rupanya teknik pancingan ultralight telah digunakan. Tulisan dan idea beliau dalam buku ini agak radikal, tetapi saya dapati ada di antaranya masih lagi relevan dengan zaman kita sekarang. Beliau menolak sama sekali teknik memancing menggunakan kekili baitcast, dan beliau juga telah meninggalkan terus dunia Fly Fishing untuk meneruskan minat beliau kepada teknik memancing menggunakan kekili spinning. Saya banyak menggunakan teknik beliau dalam gaya pancingan saya sehingga kini.

Jadi, insan-insan di atas inilah yang mempengaruhi gaya pancingan saya buat masa ini. Namun, saya masih lagi belajar dan tidak malu untuk bertanya dan belajar dengan pemancing-pemancing lain yang lebih berpengalaman dari saya. Saya juga tidak berharap untuk mencipta gaya saya sendiri, cuma saya harap saya dapat pastikan yang saya gembira ketika memancing, tidak kira sama ada dapat ikan atau tidak.

Saya sudahi jurnal saya yang pertama ini dengan video dari saya sendiri. Selamat menonton, dan terima kasih kerana sudi membaca.