infomalaya


4 April 2017

Day 52/100

Petang tadi saya telah menghadiri program pelancaran FrogVLE Hub di sebuah sekolah di kawasan Felda Lok Heng. Saya kagum dengan usaha guru-guru advokasi dan beberapa lagi guru ICT yang telah bertungkus lumus memastikan anak-anak murid di sekolah mereka dapat mengakses kandungan FrogVLE di internet, selain menjadi guru pembimbing program ini bagi guru-guru lain di sekitar daerah Kota Tinggi.

Saya pula, tidak mengambil inisiatif langsung tentang FrogVLE walaupun sekolah saya ada dibekalkan dengan beberapa peranti untuk program ini. Alasan munasabah yang saya boleh beri ialah akses internet yang amat lemah kerana kedudukan sekolah saya yang tidak strategik, dan kerana sekolah saya tidak tersenarai dalam sekolah-sekolah yang dipantau(kerana bilangan murid sekolah saya cuma 15 orang sahaja).

Tapi seperti yang saya percaya sebelum ini, kebanyakan mereka yang mempunyai pengetahuan dalam bidang ICT tidak akan menyerlah sekiranya mereka bekerja dalam bidang ICT itu sendiri contohnya seperti pegawai sistem maklumat, pengaturcara, dan pegawai teknikal. Tapi, mereka yang bekerja di luar bidang ICT seperti guru(sekadar menyebut satu contoh) akan menyerlah sekiranya mereka menggunakan pengetahuan ICT mereka secara optimum dalam skop tugas mereka.

Mungkin saya juga perlu mengikut jejak langkah guru-guru ini supaya kerja seharian saya di sekolah lebih seronok.