infomalaya


22 May 2017

Day 100/100

Alhamdulillah, akhirnya hari yang ke-100 tiba juga. Tanpa membuang masa lagi, saya senaraikan apa yang saya perolehi sepanjang tempoh cabaran 100 hari ini.

  1. Masalah utama saya ialah, saya tamak. Tamak kerana saya ingin buat dan capai semua benda yang saya inginkan dalam masa yang sama. Saya seorang guru, tapi dalam masa yang sama saya juga ingin membuat perkara lain seperti belajar programming, web designing, fotografi, edit video, buat Youtube Channel, belajar main gitar klasikal, belajar buat rod pancing custom, buat handmade lure, jadi product tester untuk produk memancing, memancing, jual barang pancing, jual jam g-shock, jual cermin mata, bina syarikat enterprise, bina dan maintain projek open source, tulis buku, baca buku, tulis blog, kayuh basikal, dan yang terbaru, buka online studio di bawah nama studio.infomalaya.com untuk ambil projek freelance. Tak banyak sangat kan? Baru 20 saya kira semuanya tadi. Anda rasa saya ada masa ka nak buat benda ni semua? Tamak betul kan saya?
  2. Inilah sebab utama kenapa saya rasa macam orang bodoh. Semua benda nak dibuat. Saya tak nafikan, banyak juga perkara baru yang saya dapat belajar dengan buat benda-benda tu semua, tapi saya dah bazirkan begitu banyak masa untuk buat perkara-perkara yang tak sepatutnya saya buat.
  3. Jadi, dalam tempoh 100 hari yang lepas, banyak perkara yang saya sudah buat untuk mengurangkan beban saya seperti mengurangkan masa interaksi di Facebook, menjadikan infomalaya.com satu-satunya domain yang saya ada, menukar pakej web hosting ke pakej yang lebih kecil dan murah, menamatkan langganan Typekit, dan membuang perisian Facebook, Instagram, Youtube dari telefon bimbit saya.
  4. Saya masih lagi belum dapat membuang perisian Whatsapp, Telegram, dan Facebook Messenger, kerana ketiga-tiga perisian ini merupakan satu-satunya cara untuk saya berhubung dengan ahli keluarga, rakan sekerja, dan rakan-rakan lain. Tapi apa yang saya dapat buat ialah, sentiasa menutup mobile data di telefon, dan hanya membukanya apabila saya ingin memeriksa mesej yang masuk. Saya juga telah menutup fungsi notification untuk semua mesej yang masuk. Kalau ada urusan yang betul-betul penting, selalunya orang akan terus menelefon saya. Lagipun saya dah maklumkan awal-awal pada rakan-rakan yang lain. Saya juga bercadang untuk downgrade pelan telco saya selepas ini kepada pelan yang lebih kecil dan murah.
  5. Ada kalanya saya dihantui dan dibayangi oleh kejayaan rakan-rakan saya yang lain. Sama ada rakan semasa zaman business startup saya, atau pun rakan semasa zaman belajar di maktab. Terima kasih Facebook kerana membantu saya dihimpit perasaan ini. Sejujurnya, saya berasa sangat gembira dengan kejayaan mereka, dan dalam masa yang sama, dan tidak sepatutnya berlaku, saya telah membandingkan kejayaan mereka dengan diri saya sendiri secara automatik. Bila perbandingan yang tidak setara ini berlaku, saya berasa sangat kecewa, dan ada rasa sedikit menyesal di atas keputusan yang saya telah buat sebelum ini. Kini, saya sedar bahawa betapa bahayanya jika kita suka membanding-bandingkan kejayaan orang lain dengan diri kita. Saya sudah faham dan sedar yang kita tidak perlu berasa sedih dengan hidup yang kita pilih. Alhamdulillah, saya berasa gembira, dan bersyukur dengan jalan yang telah saya pilih ini kerana jalan yang saya pilih inilah yang menemukan saya dengan isteri saya, dan juga kehidupan saya sekarang.
  6. Fokus saya selepas ini selain menjadi seorang guru ialah, meneruskan minat saya dalam bidang memancing. Saya akan gunakan masa lapang saya untuk hobi ini. Saya akan berusaha untuk belajar lagi teknik memancing, mengambil / edit video, membantu untuk menaikkan jenama Kanicen Nix, dan apa-apa sahaja perkara yang boleh membantu saya untuk menjadi seorang pemancing yang lebih baik.
  7. Sekiranya saya betul-betul bosan atau tidak ada kerja lain yang nak dibuat, barulah saya akan buat perkara-perkara lain yang tidak ada kaitan dengan fokus saya.
  8. Saya juga akan kembali mengayuh basikal selepas ini, atas faktor kesihatan. Tak terungkap dengan kata-kata apabila dada saya tiba-tiba sahaja terasa cramp seperti terkena serangan sakit jantung. Punca utama ialah tahap kolestrol yang tinggi kerana tidak menjaga pemakanan, kurang bersukan, dan merokok. Memang menginsafkan. Baru saya sedar betapa dekatnya kematian dengan diri kita selama ini.
  9. 3 hari lagi, kita akan menyambut bulan Ramadhan. Saya akan gunakan bulan ini sebaik-baiknya tahun ini InsyaAllah. Itu pun kalau saya masih lagi diberikan kesempatan dan umur yang panjang.

Itulah sahaja perkongsian saya untuk cabaran 100 hari ini. Saya berasa gembira, dan dalam masa yang sama turut berasa sayu dengan diri saya sendiri. Tapi apa pun, saya akan teruskan menulis di infomalaya seperti biasa selepas ini.

Terima kasih kerana sudi membaca, Assalamualaikum.