infomalaya


13 February 2017

Day 1/100

Alhamdulillah, setelah sekian lama sepi tanpa berita, saya kembali menulis semula di sini. Saya juga sempat menyelitkan logo infomalaya yang baharu di header blog. Ambil masa setahun juga baru saya dapat siapkan logo ni sejak saya dapat idea berdasarkan sedikit lakaran/contengan yang saya buat di dalam buku nota. Banyak maksud tersirat dan tersurat yang ada pada logo ni, antaranya ialah huruf ‘I’, dan juga simbol pause yang membawa maksud betapa lamanya tempoh hiatus blog ini.

Saya rasa sudah cukup lama saya menjauhkan diri dari dunia pembangunan laman web, hinggakan nak tulis kod CSS untuk masukkan gambar pada header pun saya terpaksa rujuk fail CSS lama saya. Memang menyedihkan. Jadi, saya ambil keputusan untuk memaksa diri saya untuk kembali menulis. Tujuannya hanya satu, untuk menjadikan diri saya lebih baik lagi dari diri saya sekarang. Sebab itulah saya harap tempoh 100 hari cukup untuk mendisiplinkan diri saya dan memupuk kembali semangat sukakan berkongsi ilmu melalui penulisan. Selain tu, saya juga ingin membuat dokumentasi setiap hari tentang pembelajaran saya mengenai beberapa bidang yang saya ceburi sepanjang tempoh hiatus saya. Akhir sekali, saya akan ambil keputusan bidang mana yang saya akan fokus.

Antara langkah awal yang saya ambil untuk menjadikan diri saya lebih serius ialah, saya telah melanggan pakej Photographer Adobe Creative Cloud. Bagi saya tak mahal sangat, sebulan cuma RM30 sahaja. Banyak rancangan saya selepas ni yang memerlukan saya guna Adobe Photoshop dan Lightroom.

Rasanya itu sahaja coretan saya untuk kali ni, nak tulis artikel yang pendek macam ni pun ambil masa dekat sejam. Ini jelas menunjukkan betapa berkaratnya otak saya buat masa ni kalau nak dibandingkan dengan zaman kegemilangan infomalaya dulu.

Saya kongsikan satu video oleh Stefan Sagmeister. Selamat menonton!