infomalaya


24 February 2017

Day 12/100

Hari ni saya cuma nak kongsi links sahaja.

  • Awesome Selfhosted — Senarai perisian yang boleh dipasang pada web server. Senarai ini dikemaskini secara crowdsource di GitHub.
  • LakkaLakka is a lightweight Linux distribution that transforms a small computer into a full blown game console. Sebelum ni saya guna RetroPie.

Nampak gayanya saya kena bawak balik Rpi yang saya guna di sekolah untuk projek kali ni.

23 February 2017

Day 11/100

Hari ni hari gaji bagi semua kakitangan awam di Malaysia. Saya bukan nak cerita berapa banyak @ berapa sikit gaji saya sebagai seorang guru. Saya cuma nak kongsi flow pengurusan duit gaji saya setiap bulan.

Saya guna sistem 50/30/20. 50% untuk keperluan, 30% untuk lain-lain, dan 20% untuk simpanan. Pecahan ini hanya untuk gaji bersih sahaja, selepas ditolak cukai bulanan, dan bayaran pinjaman bulanan. Saya rekodkan semua maklumat ni dalam spreadsheet. Maaf saya belum bersedia nak kongsi dokumen tu. Saya juga gunakan sistem envelope untuk beberapa perbelanjaan seperti barang dapur, dan petrol. Saya akan masukkan sejumlah duit yang telah ditetapkan ke dalam setiap sampul. Bila nak guna saya akan ambil duit dari sampul.

Untuk simpanan, saya buka satu lagi akaun simpanan di bank selain bank yang saya guna untuk gaji bulanan. Bila gaji masuk, saya akan pindahkan sejumlah wang secara online ke dalam akaun simpanan di bank lain. Saya juga pastikan isteri saya tahu nombor pin bagi kad bank saya. Bukan sebab takut bini, tapi sebab bimbang sekiranya berlaku apa-apa ke atas diri saya, isteri saya dapat keluarkan duit dari akaun bank saya dengan segera.

Saya sudahi artikel saya kali ni dengan beberapa pautan laman web di bawah:

  • PiVPN — OpenVPN untuk Raspberry Pi. Dah lama saya berangan nak pasang OpenVPN dalam Rpi, sebab senang saya nak guna internet di tempat kerja tanpa sebarang sekatan.
  • Pi-Hole — Network Ad Blocking. Fungsi ad blocking untuk semua peranti yang guna network yang sama. Tak perlu dah nak pasang ad blocker untuk setiap peranti.

22 February 2017

Day 10/100

Makluman: Petang tadi, emak saya di kampung memaklumkan pada saya yang bapa saudara saya telah meninggal dunia. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman, InsyaAllah. Saya tak dapat nak balik kampung untuk majlis pengebumian. Ini salah satu sebab kenapa saya rasa nak sangat pindah balik ke Kedah—dekat dengan keluarga dan saudara-mara.

Fotografi

Saya sedang belajar balik tentang photography dan sedikit editing dengan Adobe Lightroom. Saya guna kamera Nikon D5100 + kanta Nikon DX 35mm f1.8. Gambar yang cantik dapat meningkatkan lagi peluang untuk orang membeli barang daripada kita . Ini dari apa yang saya alami sendiri semasa menjual barang-barang secara online. Tapi jangan lupa letak watermark, sebab mungkin ada segelintir orang yang tak bertanggungjawab akan ambil gambar kita tanpa rasa bersalah walau sekelumit.

Pembaziran masa

Saya baru tersedar yang saya banyak membazir masa selama 1-3 jam sehari menonton video di Youtube. Selalunya saya akan terleka menonton video tentang memancing, dan ada kalanya saya terbabas tengok video orang menyanyi unplugged pula. Saya nak cuba kurangkan, sehari sejam mungkin dah cukup bagi saya lepas ni.

21 February 2017

Day 9/100

Saya ambil masa hampir setengah jam memikirkan apa yang saya nak tulis hari ni. Salah saya juga, lupa nak off Facebook Messenger dan Whatsapp di komputer. Bagi sesetengah orang, menulis perkara yang mudah. Bagi saya dan yang lain, menulis memang susah. Lagi susah bila nak keluarkan semua yang ada dalam kepala ni secara bertulis. Atau lukis lagi senang kot?

Sebab itu kalau nak menulis, kena pastikan dulu tak ada gangguan. Kena tenang. Kena susun dulu dalam kepala apa yang nak tulis satu persatu, ikut susunan. Macam cikgu saya selalu pesan, clear thinking will make a clear writing. Bila dan clear barulah orang yang baca artikel saya boleh faham dengan jelas apa yang saya nak sampaikan. Tapi saya memang tak tahu siapa yang baca infomalaya sekarang. Apa yang satu tahu, saya menulis untuk diri saya sendiri. Sendiri tulis, sendiri baca. Tapi saya yakin, orang selain saya yang masih lagi baca infomalaya pun perangai lebih kurang macam saya juga. Jenis yang tak suka tengok rancangan realiti TV, dan hensem.

Baru 9 hari saya menulis secara konsisten, dan masih awal untuk saya lihat sebarang perubahan berlaku pada diri saya dari segi perubahan tingkah laku, tabiat, kualiti penulisan, dan kesungguhan untuk mencapai misi saya. Saya pun sebenarnya tak tahu apa misi saya, tapi saya yakin akan ada sesuatu yang menunggu saya di akhir cabaran 100 hari ni.

Saya sudahi artikel hari ini dengan quote di bawah:

Time management, to stop addictions like social media and video-watching, and make your art your main relaxing activity.

Dipetik dari artikel yang ditulis oleh Derek Sivers, How to do what you love and make good money.

20 February 2017

Day 8/100

Hari ini boleh dikatakan hari yang paling tidak produktif bagi saya. Di tempat kerja mahu pun di rumah. One of my bad days. Gambar di atas menunjukkan bahagian rotor cup mesin ABU Cardinal 33 saya yang telah rosak. Kepala skru dah patah, meninggalkan bahagian batangnya pada lubang skru. Sempat juga saya cari tutorial di Youtube tadi, tapi memang leceh jugaklah nak buat. Nampak gaya saya terpaksa gunakan drill untuk buat lubang di tengah-tengah batang skru tu, dan cungkil lebihan skru yang tertinggal.

Inilah namanya tak ada kerja, nak cari kerja. Gatal sangat tangan saya tadi nak servis mesin ni. Apa pun, saya yakin ada hikmah di sebalik semua yang terjadi hari ni.

Selalunya benda-benda macam inilah yang buat saya patah semangat atau hilang mood. Kadang-kadang berlanjutan sampai dua tiga hari. Bila dah tak ada mood, mulalah berjangkit dengan benda-benda lain. Bila dah kronik, baru tersedar, dan barulah saya dapat tekan butang reset dan mula semula.

Saya kena biasakan diri lepas ni kalau terjadi apa-apa, saya kena anggap benda ni lumrah, dan tak perlu nak rasa tak ada mood dan sebagainya. Yang paling penting, jangan berhenti. Harap-harap jadi tabiat lepas ni. InsyaAllah.

Nota: Oh ya, hari ni saya mula tulis artikel awal sedikit daripada biasa, 8.30 malam. Saya juga dah tukar balik justified kepada left aligned bagi body text.

19 February 2017

Day 7/100

Alhamdulillah, akhirnya hari ni saya sentuh juga kod CSS. Saya kecilkan sedikit saiz font untuk body, dan saya tukarkan text alignment kepada justify. Tapi saya lebih suka saiz font yang lebih besar, jadi saya anggap ini cuma eksperimen sementara saya siapkan rekabentuk akhir di hujung projek 100 hari saya. InsyaAllah.

Gambar di atas merupakan jam tangan saya sendiri, Casio G-Shock G-6900. Saya akan dedikasikan satu artikel khas untuk review jam ni nanti, yang saya nak kongsikan hari ni ialah tentang masa. Sejak ada jam ni, saya gunakan sepenuhnya fungsi timer yang ada pada jam ni. Saya set timer pada tempoh 30 minit. Jadi dalam tempoh 30 minit inilah saya akan cuba paksa diri saya selesaikan apa-apa tugas contohnya macam kemas bilik, bersenam, tulis artikel, dan tulis buku rekod pengajaran harian di sekolah. Saya rasa cara ni efektif, at least untuk orang yang kurang berdisiplin macam saya. Cukup tempoh 30 minit, penggera timer akan berbunyi menandakan masa sudah tamat bro.

Selain daripada jam tangan, saya juga rasa nak kongsikan sesuatu tentang budaya menangguh kerja. Banyak perkara dan benda yang saya terlepas akibat suka menangguh kerja. Contohnya, saya dah tahu tangki motosikal saya dah tak ada minyak, tapi saya tetap juga nak isi minyak dari tong minyak pada waktu pagi sebelum pergi sekolah. Saya beranggapan yang saya akan dapat bangun awal, dan confirm sempat nak isi minyak. Realitinya, saya akan terbangun lewat, dan saya akan sampai lambat ke tempat kerja dalam 10 minit. Sekiranya saya tidak bertangguh, saya dah dapat jimatkan masa 10 minit dan sampai ke tempat kerja lebih awal.

Point saya ialah, bila tibanya keadaan yang mana saya perlu melakukan sesuatu, diri saya akan bersangka baik pada diri sendiri, dan dengan yakinnya yakin yang saya akan dapat selesaikan perkara tu sekiranya menangguh kerja.

Kesilapan saya ialah terlalu percayakan diri sendiri. Maaf, bukan terlalu percaya, saya over confident dengan keadaan dan sikap diri saya sendiri. Sepatutnya saya sedar yang saya memang akan menghadapi masalah bila nak selesaikan apa-apa perkara sekiranya bertangguh.

Bukan senang nak ubah sikap suka bertangguh ni. Tapi kalau saya berjaya hilangkan tabiat ni, saya yakin banyak perkara saya boleh capai, dan hidup saya akan lebih bahagia. InsyaAllah.

Saya kongsikan beberapa pautan menarik tentang masa dan tabiat:

  • Daily Rituals — Ulasan dan kupasan tentang buku “Daily Rituals: How Artists Work – by Mason Currey” oleh Derek Sivers.
  • Get Stuff Done after Work — Artikel yang menarik tentang masa yang kita bazirkan dalam aktiviti harian.

18 February 2017

Day 6/100

Alhamdulillah, hari saya berjaya mula menulis pada pukul 10 malam. Saya akan cuba gunakan masa 30 minit sahaja kali ni.

Pertama sekali, tentang Accelerated Media Pages atau secara ringkasnya, AMP. Saya baru dapat tahu yang saya perlu guna servis dari Cloudflare iaitu AMP Links:

Accelerated Mobile Links allow your users to open outgoing AMP links from your website in AMP. AMP is an open source project that uses a stricter flavor of HTML and very little Javascript so that your browser can load web pages on mobile browsers quickly. This is at least three times faster than a regular webpage and gives you a native mobile experience.

Mungkin ada cara yang lain tapi memandangkan reputasi Cloudflare yang bagus, dan banyak lagi fungsi/aplikasi yang saya boleh guna untuk melajukan laman web, jadi tak ada salahnya saya cuba. Untuk permulaan, saya cuba guna dulu free plan. Saya dalam proses membuat integrasi AMP ke dalam laman web Ultralight Anglers. Laman web ini bukan milik saya, saya cuma menjadi penulis sambilan, product tester, dan adalah juga sedikit saya bantu dari segi teknikal laman web. Terima kasih saudara Kanicen Nix kerana memberi kepercayaan kepada saya.

Bagi saya, penggunaan AMP sesuai untuk laman web yang berorientasikan kandungan macam berita dan artikel. Antara laman web tempatan yang saya nampak dah guna AMP ialah Amanz, The Vocket, dan beberapa lagi laman web berita tempatan. Seperti yang kita sedia maklum, orang zaman sekarang lebih suka pegang telefon dari hadap komputer. Saya tak perlu cakap kenapa, sendiri mau ingat la hahaha… Satu kewajipan bagi setiap laman web untuk mempunyai Facebook page sendiri supaya dapat menyalurkan trafik ke laman web masing-masing. Di sinilah AMP memainkan peranannya dengan menjadikan tempoh loading laman web menjadi sangat singkat(3 kali lebih cepat, bergantung pada kelajuan internet).

Mungkin saya boleh buat servis untuk integrasi AMP lepas ni. Tapi itu pun lepas saya dah berjaya siapkan kerja yang saya cakap kat atas tadi dahulu.

So far so good, nampaknya saya dah berjaya juga tulis artikel berbentuk reflective. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini, InsyaAllah.

Tempoh yang saya ambil untuk artikel ni: 24 minit.

17 February 2017

Day 5/100

Misi nak menulis sebelum pukul 11 malam tak berjaya malam ni. Tapi tak mengapa, asalkan masih lagi on track dah cukup baik. Hari ni banyak habiskan masa di luar—tapi bukan memancing. Lagipun hari Jumaat di Johor memang dah mula cuti hujung minggu. Baik, kembali pada fokus utama, dah masuk hari ke-5 tapi sampai hari ni saya belum sentuh lagi apa-apa kod di aplikasi Sublime Text (Unregistered version) komputer saya.

Saya baru perasan tadi antaramuka aplikasi Facebook di telefon bimbit saya dah berubah sedikit, dah ada Facebook Stories. Sebelum ni rasanya macam pernah nampak di Instagram. Saya belum guna lagi fungsi tersebut, tapi saya dah lama sedar yang Facebook ke arah menjadikan semua penggunanya bergantung pada Facebook untuk semua aktiviti internet. Ya, semua aktiviti internet macam chatting, tengok video, tengok gambar, jual barang, beli barang, main game, hantar komen, baca laman web, cari jodoh, dan cari kerja…

Bayangkanlah, saya sampai tak boleh nak uninstall Facebook dari dalam telefon sebab memang terpaksa guna. Sama juga macam Whatsapp, dalam zaman ni dah jadi benda wajib kena install Whatsapp, kalau tak memang ketinggalan dan confirm kena kecam.

Jadi nak buat macam mana? Go with the flow atau terus keluar dari sistem? Saya pun tak tahu dan belum dapat jawapan.

16 February 2017

Day 4/100

Dah masuk hari ke-4, dan antara pattern yang saya dapat kesan ialah, saya akan mula menulis di sini selepas pukul 11.00 malam. Tak ada masalah pun sebenarnya, cuma waktu ni saya dah mula mengantuk. Satu lagi, saya jadi tertekan sebab nak publish artikel sebelum pukul 12 tengah malam. Susah sebenarnya bila berjanji ni, lagi susah pula bila berjanji dengan diri sendiri. Tapi apa boleh buat, saya tak boleh merungut sangat sebab saya ada misi. InsyaAllah saya akan cuba ubah jadual saya menulis mulai esok.

Jadi hari ni saya cuma nak kongsi beberapa pautan yang saya dah simpan untuk rujukan saya sendiri.

  • Open Source Guides by GitHub — Rujukan untuk merancang, membangunkan, dan memelihara projek sumber terbuka dari GitHub. Saya memang bercadang nak buat satu projek sumber terbuka tahun ni, harap-harap dapat menandingi brainchild saya sebelum ni, Extreme Georgia. Yang paling penting, projek ni boleh generate sustainable income.
  • Oh Sh*t Git! — Saya memang selalu ada masalah dengan Git sebelum ni. Maklumlah, bukan hari-hari guna.
  • Everything about AMP — Saya sebenarnya dah lama intai-intai projek ni sebelum jadi mainstream, tapi tak jadi guna sebab waktu tu belum banyak dokumentasi yang orang tulis.
  • Caching Explained — Belajar tentang apa itu caching secara santai dan interaktif.

Rasanya itu saja untuk kali ni. Minta maaf hari ni tak ada gambar.

15 February 2017

Day 3/100

Dalam sejarah saya menjadi seorang cikgu(baru 8 tahun), inilah kali pertama saya mengajar murid-murid di sekolah saya tentang topik memancing secara formal. Rakan setugas saya yang meminta saya untuk mengisi slot kelab beruniform sekolah bagi topik survival. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, baik saya atau murid-murid saya, rasa seronok dan bersemangat—masing-masing bawa rod dan alat pancing dari rumah.

Tapi untuk slot selama sejam, tak banyak yang saya dapat sentuh. Saya cuma dapat terangkan tentang mesin, rod, dan tali pancing sahaja. Adalah juga saya ajar dua jenis ikatan yang saya sendiri selalu guna. Rasa berterabur juga waktu nak buat penerangan, kalau ada silibus senang sikit nak ajar. InsyaAllah hujung tahun nanti waktu program perkhemahan tahunan sekolah saya akan rangka slot untuk sesi memancing bersama murid-murid saya.

Memancing memang mudah, tapi nak beri penerangan supaya kanak-kanak faham bukannya kerja senang. Untuk memudahkan kanak-kanak bawah 12 tahun cepat faham, kena guna teknik ansur maju. Mula dari asas, dan bila asas dah kukuh baru pergi ke tahap seterusnya. Tak boleh guna teknik learning by doing, yang itu untuk remaja dan orang dewasa boleh la kot pada pendapat saya.

14 February 2017

Day 2/100

Baru hari ke-2 dah mula rasa nak give up. Sengal betul. Tolong jangan jadi macam saya. Dah 3 hari saya tak turun memancing, mungkin sebab itu saya rasa macam tak berapa nak semangat hari ni sebab cadangnya nak turun petang tadi tapi cuaca tak mengizinkan(ribut + hujan). Dari hobi memancing inilah saya mula menceburkan diri dalam bidang videography, rod building, jual beli barang melalui Facebook dan Whatsapp, dan beberapa lagi bidang lain yang saya akan kongsi di lain hari, InsyaAllah.

Contoh terbaik, malam tadi saya berjaya closed deal dan jual beberapa barang pancing dalam koleksi saya. Niat asal nak jual barang sebab nak menabung untuk beli action cam. Terpaksa sebenarnya sebab tak ada cara lain yang lagi mudah selain guna action cam untuk rakam video memancing saya. Sebelum ni saya ada usung DSLR dan tripod waktu turun memancing, tapi itulah, leceh kot.

Besar sebenarnya cita-cita saya tentang dunia memancing ni, tapi oleh kerana saya segan nak kongsi, biarlah dulu, nanti satu persatu saya tunjukkan hasilnya InsyaAllah. Besar sebenarnya cabang dan seni dalam arena memancing ni.

13 February 2017

Day 1/100

Alhamdulillah, setelah sekian lama sepi tanpa berita, saya kembali menulis semula di sini. Saya juga sempat menyelitkan logo infomalaya yang baharu di header blog. Ambil masa setahun juga baru saya dapat siapkan logo ni sejak saya dapat idea berdasarkan sedikit lakaran/contengan yang saya buat di dalam buku nota. Banyak maksud tersirat dan tersurat yang ada pada logo ni, antaranya ialah huruf ‘I’, dan juga simbol pause yang membawa maksud betapa lamanya tempoh hiatus blog ini.

Saya rasa sudah cukup lama saya menjauhkan diri dari dunia pembangunan laman web, hinggakan nak tulis kod CSS untuk masukkan gambar pada header pun saya terpaksa rujuk fail CSS lama saya. Memang menyedihkan. Jadi, saya ambil keputusan untuk memaksa diri saya untuk kembali menulis. Tujuannya hanya satu, untuk menjadikan diri saya lebih baik lagi dari diri saya sekarang. Sebab itulah saya harap tempoh 100 hari cukup untuk mendisiplinkan diri saya dan memupuk kembali semangat sukakan berkongsi ilmu melalui penulisan. Selain tu, saya juga ingin membuat dokumentasi setiap hari tentang pembelajaran saya mengenai beberapa bidang yang saya ceburi sepanjang tempoh hiatus saya. Akhir sekali, saya akan ambil keputusan bidang mana yang saya akan fokus.

Antara langkah awal yang saya ambil untuk menjadikan diri saya lebih serius ialah, saya telah melanggan pakej Photographer Adobe Creative Cloud. Bagi saya tak mahal sangat, sebulan cuma RM30 sahaja. Banyak rancangan saya selepas ni yang memerlukan saya guna Adobe Photoshop dan Lightroom.

Rasanya itu sahaja coretan saya untuk kali ni, nak tulis artikel yang pendek macam ni pun ambil masa dekat sejam. Ini jelas menunjukkan betapa berkaratnya otak saya buat masa ni kalau nak dibandingkan dengan zaman kegemilangan infomalaya dulu.

Saya kongsikan satu video oleh Stefan Sagmeister. Selamat menonton!

14 November 2016

Quick Links

Antara bahan bacaan minggu ni:

  • H.264 is Magic — Salah satu teknologi video compression yang popular diterangkan dalam bentuk yang lebih mudah untuk difahami. Saya kini sedang seronok mengambil/mengolah video aktiviti memancing saya.
  • 12,000 Road Maps Collection — Obsesi mendiang Robert Carlo dalam mengumpul peta dan data.
  • Digital Monument — Bayangkan sekiranya anda masih dapat berhubung dengan orang yang telah tiada secara maya. Walaupun bagi saya semua ini tidak bermakna langsung @ pointless, saya tetap kagum dengan teknologi neural network yang mereka bangunkan.

3 October 2016

Raspbian PIXEL

Setelah sekian lama Raspbian Pi 3 saya dibiarkan berhabuk dan dihujani tahi cicak di sudut kiri meja saya, saya mengambil keputusan untuk memasang Raspbian PIXEL. PIXEL merupakan singkatan untuk Pi Improved Xwindows Environment, Lightweight. Dalam bahasa mudahnya, PIXEL merupakan kemaskini untuk antaramuka Raspbian. Banyak perubahan dan penambahbaikan yang telah dibuat, terutamanya dari segi kelajuan, set ikon yang lebih cantik, font yang lebih menarik, dan yang paling saya suka, pelayar web Epiphany telah digantikan kepada Chromium.

Salah satu sebab utama kenapa saya perlu menggunakan Raspberry Pi ialah, saya ‘terpaksa’ belajar menggunakan perisian Scratch — yang mana telah siap dipasang ke dalam Raspbian—untuk mengajar murid-murid Tahun 6 bagi mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).

Saya sedang cuba untuk memaksa diri saya untuk menggunakan RPi sebagai komputer utama saya selepas ini. Saya tahu bukan kerja senang, cuma kena biasakan buka sehingga 3 atau 4 tab sahaja ketika menggunakan Chromium. Kenapa? Tak cukup memori. Boleh hang komputer kalau buka lebih dari tu.

27 September 2016

Quick Links

Selepas ini, saya akan kemaskini pos yang mempunyai pautan-pautan yang saya jumpa sepanjang minggu. Saya lebih suka sebenarnya pos satu pautan untuk satu entri, malangnya setiap kali saya nak guna custom field untuk URL pada textpattern(enjin blog infomalaya), akan ada error yang saya sendiri tak tahu punca dari mana. Jadi mahu tak mahu terpaksalah saya cuba cara lain.