infomalaya


9 March 2017

Day 25/100

Saya tak ada banyak masa malam ni untuk tulis artikel. Jam menunjukkan pukul 11.45 malam. Esok dan lusa cuti. Mungkin malam ni saya boleh tidur lewat sedikit. Tapi esok kena bangun awal dari biasa. Saya nak siapkan kod MentariCSS pada sebelah pagi sebelum solat Jumaat. Mungkin sempat siap semuanya. Itu pun kalau tak ada aktiviti memancing, yang saya rasa susah sangat nak tolak.

Saya tertinggal satu perkara berkenaan rancangan saya untuk MentariCSS, iaitu roadmap. Benda ni memang penting, dan wajib ada untuk memastikan projek atau produk sentiasa dikemaskini dan disiapkan. Saya sudah bookmark artikel ini untuk rujukan pagi esok.

Jumpa lagi esok, InsyaAllah.

8 March 2017

Day 24/100

Gambar di atas ialah cheese cake untuk sambutan hari kelahiran saya. Dibuat oleh isteri saya. Kek untuk majlis kelahiran anak saya pun dia ada buatkan sekali. Marissa Cupcakes ialah nama perniagaan bakery kecil-kecilan isteri saya, dan diambil bersempena dengan nama puteri sulung kami.

Cepat betul dah 24 hari berlalu.

7 March 2017

Day 23/100

Malam ni, saya nak tulis tentang backup. Dah lama nak tulis tapi asyik lupa. Jadi malam ni saya nak kongsi tentang cara saya buat backup, sama ada benda-benda digital dan fizikal.

Saya mulakan dengan digital backup dahulu. Saya guna khidmat Dropbox untuk untuk: simpan semua fail dan dokumen berkaitan dengan projek online saya dan semua ebooks yang saya telah kumpul. Untuk notes berkaitan dengan hal-hal sekolah, ID dan kata laluan, nombor akaun, dan alamat, saya guna perisian Notational Velocity yang saya telah sync bersama Simplenote. Saya juga telah memasang mobile app bagi Dropbox dan Simplenote pada telefon bimbit saya. Untuk tujuan keselamatan, saya telah tetapkan kata laluan dan imbasan cap jari untuk membuka apps tersebut.

Saya gunakan khidmat GitHub untuk simpan kod-kod bagi projek sumber terbuka saya sahaja.

Bagi dokumen lain seperti gambar, audio, video, saya akan buat salinan ke dalam external HD dalam tempoh dua atau tiga bulan sekali. Saya akan padam fail lama yang berada di dalam komputer kerana saiz HD yang terhad(cuma 256gb).

Saya juga akan membuat phone backup sebulan sekali. Banyak sangat gambar dan video dalam galeri gambar. Ini semua salah Whatsapp.

Saya tak guna fungsi Time Machine sebab dokumen yang penting bagi saya dah pun dibuat pendua.

Itu sahaja cara saya buat digital backup.

Berkenaan dengan backup secara fizikal, saya ambil keputusan untuk menangguhkan dulu niat saya. Mungkin kerana saya masih belum bersedia untuk berkongsi, atau mungkin juga kerana terlalu banyak yang nak ditulis. Jadi, maafkan saya. Mungkin di lain hari saya akan kongsi, InsyaAllah.

6 March 2017

Day 22/100

Alhamdulillah, niat saya nak tidur awal semalam tertunai. Bila cukup tidur, memang senang nak bangun awal. Cukup mudah, tapi cukup susah nak biasakan diri tidur awal sebab dah biasa tidur lambat.

Tadi saya sempat buat sedikit penambahbaikan pada infomalaya. Saya dah tambah fungsi untuk pergi ke artikel sebelum/selepas pada single article. Senang nak baca artikel lain, dan bagus untuk enjin carian nak crawl. Tapi, saya masih lagi tidak berpuashati dengan rekabentuk bahagian tersebut. Tengoklah, saya akan cuba reka susun atur yang cantik sedikit.

Saya dapat kesan yang jumlah perkataan untuk artikel yang saya tulis seminggu kebelakangan ini, semakin berkurang. Puncanya ialah macam yang saya pernah tulis sebelum ni; saya dah mengantuk dan rasa macam nak cepat-cepat tulis artikel yang sekadar nak penuhi janji saya untuk menulis setiap sahaja. Sepatutnya saya ambil masa untuk menulis artikel yang baik. Saya akan cuba perbaiki masalah ini mulai esok.

Tapi sekurang-kurangnya dengan membiasakan diri saya menulis setiap hari, saya dapat tulis masalah saya, dan fikirkan cara untuk selesaikan masalah. Adalah saya dapat rasa sedikit perubahan berlaku pada diri saya, cuma saya tak tahu nak cakap apa perubahan yang saya maksudkan tu.

It’s complicated, saya kata.

5 March 2017

Day 21/100

Alhamdulillah, projek rod heavy cover game saya semalam dah siap 50%. Tinggal nak ikat guide dan sapu epoxy sahaja. Semangat sangat nak buat malam tadi sampai lambat masuk tidur. Akibatnya, saya jadi mengantuk di sekolah hari ni, banyak kerja saya tertangguh. Salah saya sendiri, dah tahu esok kerja, jadi kenalah masuk tidur awal sebelum pukul 12. Degil betul.

Misi saya minggu ni ialah masuk tidur sebelum pukul 12 tak kiralah banyak mana pun kerja saya. Rasanya ramai dah tahu yang tidur yang cukup memang penting. Saya pun tahu, tapi degil jugak nak tidur lambat.

Apa pun, saya akan cuba juga. Tidur yang cukup juga adalah salah satu perkara yang saya nak capai dalam tempoh 100 hari ni—walaupun dah tinggal lagi 79 hari.

4 March 2017

Day 20/100

Hari ni saya tak sempat langsung nak tulis kod. Pagi pergi memancing, tengahari pergi ke bandar sampai Maghrib. Jadi, malam ni saya nak sambung projek rod heavy cover game saya pulak. Rod ini khas untuk pancingan di kawasan paya yang penuh dengan tumbuhan dalam air. Ikan sasaran ialah dari keluarga snakehead, sama ada haruan, bujuk, kerandang, atau toman. Cuma buat masa ni saya cuma berpeluang daratkan spesis ikan haruan sahaja.

Kod dan rod. Kod dan rod. Dua-dua saya suka.

3 March 2017

Day 19/100

Seperti yang dijanjikan, hari ini saya akan kongsi rancangan saya untuk MentariCSS. Saya akan letakkan MentariCSS di bawah projek infomalaya memandangkan saya sudah tidak lagi terlibat dengan MentariWorks. Tetapi, sekiranya terjadi apa-apa isu berkaitan hakcipta, saya akan cari nama lain untuk MentariCSS walaupun saya adalah pengasas projek ini.

Langkah pertama yang saya dah buat, buat satu organization di GitHub di bawah nama infomalaya. Saya juga dah jemput saudara Ahmad Rushdi untuk turut serta melalui invite link. Buat masa ini saya masih belum lagi buat repo untuk MentariCSS. Saya kena gilap balik kod-kod dalam MentariCSS yang saya tengah guna sekarang.

Untuk lesen, saya akan guna MIT license. Ini kali pertama saya guna MIT license untuk projek saya. Sekiranya anda ingin memilih lesen yang sesuai untuk projek anda, sila rujuk laman web Choose a License dahulu.

Saya juga akan merangka dokumen README MentariCSS supaya orang yang guna kod ini lebih faham tentang MentariCSS. Saya akan rujuk artikel ini untuk menulis dokumen README yang lebih teratur.

Untuk dokumentasi, dan feature request, saya akan guna fungsi yang ada pada GitHub. Saya akan rujuk artikel ini untuk memantapkan lagi pengurusan projek ini. Saya akan memastikan dokumentasi MentariCSS lengkap sebelum projek ini dimulakan. Dokumentasi prioriti ketiga saya selepas kod MentariCSS dan dokumen README.

Sekiranya projek ini dah berjaya dilancarkan, saya akan guna blog infomalaya untuk membuat sebarang artikel tentang berita terbaru dan penggunaan MentariCSS untuk membangunkan laman web. Saya juga akan buka pull request sekiranya ada orang ingin menyumbang sebarang kod untuk MentariCSS.

Akhir sekali, soalan yang saya selalu dapat. “Kenapa nak buat satu lagi CSS Framework sedangkan dah berlambak framework yang lebih lengkap dan baik di luar sana macam Bootstrap dan Zurb’s Foundation?”. Saya cuma boleh jawab yang MentariCSS lebih simple, dan saya suka benda yang simple.

Saya mungkin akan ambil masa satu ke dua minggu untuk siapkan semua yang saya dah rancang di atas. InsyaAllah.

2 March 2017

Day 18/100

Saya ambil keputusan untuk meneruskan semula projek sumber terbuka saya yang terbengkalai sebelum ini, MentariCSS. Tapi kalau saya teruskan cara saya dahulu, rasanya dah boleh agak projek ini akan terbengkalai semula dalam tempoh yang cukup singkat. Sebenarnya, saya kembali bersemangat lepas baca artikel dari Open Source Guide—oleh GitHub—yang bertajuk Starting an Open Source Project.

Selepas baca, baru saya sedar punca kenapa projek saya sebelum ini terbengkalai. Terlalu banyak kekurangan, bukannya dari segi kod yang ada dalam projek tu, tapi dari segi pengurusan dan dokumentasi. Tapi kekurangan ini datangnya dari saya sendiri, kurang membaca dan belajar dari projek sumber terbuka lain yang sudah berjaya.

MentariCSS akan menjadi langkah pertama untuk projek saya yang seterusnya iaitu HTML template. Saya akan teruskan minat saya dalam bidang ini dengan merekabentuk template HTML, dan harapnya akan ada orang yang berminat untuk port template yang saya buat ke platform CMS, WordPress contohnya.

Saya akan kongsikan rancangan saya untuk projek ini esok, InsyaAllah.

1 March 2017

Day 17/100

Hari ini saya belajar satu benda baru tentang cara mencari maklumat di internet. Sebelum ini saya ada guna enjin carian Google untuk cari maklumat tentang reel ABU Cardinal 33. Saya cari maklumat tentang cara-cara membetulkan line lay pada bahagian spool. Malangnya, saya tak jumpa apa-apa pun. Tapi, dari apa yang saya tahu, reel ini sangat popular di kalangan pemancing ikan trout di Jepun.

Rupa-rupanya baru saya tahu yang saya kena guna tulisan Jepun untuk cari maklumat. Saya gunakan khidmat Google Translate untuk terjemahkan kata kunci yang saya cari kepada Bahasa Jepun, dan saya gunakan tulisan tersebut untuk buat carian di Google. Alhamdulillah, baru saya jumpa apa yang saya nak.

Sekali lagi, terima kasih Google Translate.

Masuk hari ke-17 ni, saya rasa macam dah habis modal nak menulis pun ada. Mungkin perasaan saya sahaja yang buat saya rasa macam ni. Realitinya, saya dah cuba sehabis baik untuk ingatkan dan kuatkan diri saya untuk terus menulis sampai ke hari ini.

Consistency is the key, kata mereka.

28 February 2017

Day 16/100

Lagu ‘Pejamkan Mata’ dendangan Malique dan Dayang Nurfaizah menjadi lagu tema saya minggu ini. Lirik lagu ini tidak ada kaitan pun dengan hidup saya. Terlalu klise rasanya kalau nak kaitkan lirik lagu dengan kehidupan seharian saya yang biasa-biasa sahaja. Mungkin ada sedikit kot yang berkait. Mungkin. Rasanyalah.

Yang penting, hidup ni jangan terlalu ikutkan emosi. Kawal emosi, tak rugi kalau boleh bersabar sedikit. Kita tak tahu apa akan jadi lepas ini. Siapa pun tak tahu.

Gambar di atas saya ambil ketika melawat Taman Monumen di negeri Terengganu pada tahun 2015.

27 February 2017

Day 15/100

Banyak benda yang saya buat hari ini, antaranya ialah:

Hosting Plan downgrade

Infomalaya.com dihoskan oleh DataKL. Sudah lama saya guna khidmat mereka kerana staf sokongan mereka cekap menyelesaikan masalah berkaitan hosting dengan pantas. Kos hosting laman web infomalaya ialah RM160 setahun tidak termasuk GST bagi pelan DataOne. Oleh kerana saya tidak lagi maintain domain-domain lain seperti mentariworks.com, hasnahbakery.com, dan skthl.edu.my, saya rasa eloklah saya keluarkan terus domain yang disebutkan tadi dari plan hosting yang saya ambil. Jadi, saya pilih plan DataRookie yang berhaga RM105 setahun tidak termasuk GST yang dapat menyokong dua domain. Buat masa ini saya cuma akan maintain dua domain sahaja iaitu infomalaya.com dan huzairy.com—laman web peribadi saya.

Sekiranya anda sedang mencari pakej hosting untuk laman web, saya sarankan anda supaya mencuba servis DataKL. Sila guna pautan affiliate ini untuk melanggan, dalam masa yang sama anda dapat membantu saya menampung kos hosting infomalaya.

YouTube Channel

Saya telah membuat channel Youtube yang baharu. Channel ini khas untuk video memancing saya selepas ini. Saya kena cari gambar lain untuk avatar dan channel art. Walaupun saya masih lagi belum mempunyai action cam, saya akan teruskan juga membuat video dengan menggunakan peralatan yang ada pada saya buat masa ini iaitu telefon bimbit dan DSLR. Tabung untuk membeli action cam telah dibuat, kalau ada rezeki mungkin sebelum raya tahun ni saya dapat beli satu, InsyaAllah.

AMP dan Facebook Instant Articles

Saya dah pernah dengar pasal Facebook Instant Articles sebelum ini, tapi cuma hari ini saya berpeluang untuk guna. Leceh juga sebenarnya, tak pasal-pasal saya kena create account untuk jadi Facebok Developer, register Facebook Apps, Pasang plugin WordPress untuk Instant Articles, dan buat link antara laman web dan Facebook Pages, dan sekarang saya cuma kena tunggu pengesahan dari pihak Facebook.

Saya sangkakan laman web yang ada saya sebutkan sebelum ini guna AMP dalam laman web mereka, rupanya saya silap. Mereka guna Facebook Instant Articles, bukan AMP. Patutlah saya periksa laman web mereka guna AMP Test dapat keputusan yang mengejutkan.

Alhamdulillah, nasib baik tak jauh sangat saya tersesat.

26 February 2017

Day 14/100

Hari ini saya ada buat sedikit kemaskini pada infomalaya. Saya buat satu bahagian khas pada sidebar untuk memaparkan artikel berbentuk pautan semata-mata. Sebenarnya saya dah lama guna cara ini sewaktu zaman kegemilangan infomalaya dahulu, tapi waktu itu saya guna WordPress. Sekarang infomalaya guna Textpattern, dan saya dapati CMS yang ini lebih senang untuk ditala mengikut apa yang yang saya mahukan. Terima kasih pada Tag Builder.

Di masa hadapan, saya akan buat satu halaman khas untuk memaparkan semua pautan yang telah ditulis. Mungkin saya akan paparkan pautan dengan menggunakan kaedah kotak, yang mana semua pautan telah disusun mengikut kategori masing-masing.

Dengan cara ini, saya dapat mengasingkan artikel biasa dengan artikel berbentuk pautan. Tapi, semua ini masih lagi dalam proses eksperimental. Saya akan tengok dahulu sama ada fungsi ini akan saya kekalkan atau tidak dalam tempoh 86 hari ini.

25 February 2017

Day 13/100

Gambar ikan clownfish di atas saya ambil di Aquaria KLCC pada tahun 2013 semasa rombongan sambil belajar sekolah. Waktu ini saya masih lagi belum serius dalam bidang memancing. Memancing sekadar suka-suka. Waktu itu rasa memancing ni taklah susah mana, dan tak perlu nak serius sangat. Tapi saya silap. Begitulah kita manusia, sangkakan diri sudah tahu banyak, mendabik dada umpama tahu semuanya, tapi terlupa yang ilmu itu luas, yang mana proses pencariannya tidak akan pernah puas. Yang penting, kena konsisten dalam usaha dan tawakal.

Susah nak cakap pasal konsisten ni. Berat benda konsisten ni. Nak capai tahap konsisten dalam semua perkara mungkin mustahil, dan tahyul. Sedangkan nak jadi konsisten dalam satu perkara pun susah, inikan pula semua. Ni saya nak tulis artikel sampai hari ke-13 pun masih lagi ada rasa terpaksa. Maknanya saya kena teruskan lagi sampai menulis artikel menjadi tabiat saya. Macam tabiat makan, minum, mandi, bekerja, memancing, dan lain-lain. Bila dah jadi tabiat, memang susah nak tinggal—seperti merokok contohnya. Sekadar contoh pada diri saya sendiri.

Susah, tapi saya akan cuba, InsyaAllah.

24 February 2017

Day 12/100

Hari ni saya cuma nak kongsi links sahaja.

  • Awesome Selfhosted — Senarai perisian yang boleh dipasang pada web server. Senarai ini dikemaskini secara crowdsource di GitHub.
  • LakkaLakka is a lightweight Linux distribution that transforms a small computer into a full blown game console. Sebelum ni saya guna RetroPie.

Nampak gayanya saya kena bawak balik Rpi yang saya guna di sekolah untuk projek kali ni.

23 February 2017

Day 11/100

Hari ni hari gaji bagi semua kakitangan awam di Malaysia. Saya bukan nak cerita berapa banyak @ berapa sikit gaji saya sebagai seorang guru. Saya cuma nak kongsi flow pengurusan duit gaji saya setiap bulan.

Saya guna sistem 50/30/20. 50% untuk keperluan, 30% untuk lain-lain, dan 20% untuk simpanan. Pecahan ini hanya untuk gaji bersih sahaja, selepas ditolak cukai bulanan, dan bayaran pinjaman bulanan. Saya rekodkan semua maklumat ni dalam spreadsheet. Maaf saya belum bersedia nak kongsi dokumen tu. Saya juga gunakan sistem envelope untuk beberapa perbelanjaan seperti barang dapur, dan petrol. Saya akan masukkan sejumlah duit yang telah ditetapkan ke dalam setiap sampul. Bila nak guna saya akan ambil duit dari sampul.

Untuk simpanan, saya buka satu lagi akaun simpanan di bank selain bank yang saya guna untuk gaji bulanan. Bila gaji masuk, saya akan pindahkan sejumlah wang secara online ke dalam akaun simpanan di bank lain. Saya juga pastikan isteri saya tahu nombor pin bagi kad bank saya. Bukan sebab takut bini, tapi sebab bimbang sekiranya berlaku apa-apa ke atas diri saya, isteri saya dapat keluarkan duit dari akaun bank saya dengan segera.

Saya sudahi artikel saya kali ni dengan beberapa pautan laman web di bawah:

  • PiVPN — OpenVPN untuk Raspberry Pi. Dah lama saya berangan nak pasang OpenVPN dalam Rpi, sebab senang saya nak guna internet di tempat kerja tanpa sebarang sekatan.
  • Pi-Hole — Network Ad Blocking. Fungsi ad blocking untuk semua peranti yang guna network yang sama. Tak perlu dah nak pasang ad blocker untuk setiap peranti.